Friday, September 26, 2008

SYAWAL MAKIN HAMPIR...

Hari ini hari terakhir hamba bertugas sebelum pulang ke kampung halaman menyambut hari lebaran bersama keluarga tersayang. Aura syawal semakin terasa tatkala melihat kemeriahan tradisi maaf bermaafan antara rakan sekerja di kantor hamba. Perasaan benar-benar teruja dengan ketibaan syawal yang bakal diraikan tidak lama lagi. Perayaan menyambut kemenangan! Lapar menjalani ibadah puasa seakan tidak terasa dek kerana kegairahan menyambut hari raya.

Insya-Allah, hari sabtu ini hamba akan pulang ke kampung. Pasti banyak yang perlu dilakukan di rumah. Maklumlah, kediaman keluarga hamba sedang diubahsuai. Ibu pula lebih bergantung harap untuk hamba menghias dan mengemaskan rumah. Memang sudah menjadi tugas dan tanggungjawab hamba saban tahun sebelum menjelang hari raya, hamba akan ditugaskan mengepalai tugasan mengemas rumah...Heheheh...

Dari segi persiapan lain, segalanya telah hamba lakukan sedari awal. Pakaian untuk diri sendiri, pakaian ibu bapa, perhiasan rumah (lampu lip-lap) ,mercun (yahooo..) juadah hari raya, hinggalah kepada 'hadiah' yang bakal diberikan kepada adik-beradik, saudara-mara, dan tetamu yang akan berkunjung ke rumah.

Seketika terdetik di hati hamba...dan akal terus berbicara! Syawal makin hampir menandakan Ramadan sudah dipenghujung...

Terasa sedih juga di hati hamba justeru mengimbau kembali apakah amalan dan ibadah yang telah hamba lakukan bagi mengisi hari-hari Ramadan? Sudah cukup giatkah hamba memanfaat anugerah yang datang hanya sekali setahun? Lantas, di akhir-akhir waktu ini, hamba kekal mengutip keistimewaan dan barakah Ramadan yang berbaki cuma beberapa hari sahaja lagi.

Semoga ketibaan hari raya nanti akan semeriah tahun-tahun sebelumnya, hatta mungkin lebih hebat dan meriah lagi...Meriah dengan penuh makna dan hikmah. Meriah dengan kasih-sayang dan jalinan erat tali persaudaraan. Meriah dengan kemenangan. Meriah segalanya...

**Insya-Allah, petang ini hamba akan menemani Aieman membeli-belah di Klang. Lama juga hamba tidak berjumpa dengannya. Di akhir Ramadan ini, dapat juga hamba berbuka dengannya sebelum dia kembali ke kampung dengan bas.**

Thursday, September 4, 2008

KASEH RAMADAN

Syukur, hari ini genap sudah lima hari hamba menjalankan ibadah rukun Islam ketiga. Menunaikan tanggungjawab sebagai muslim dan paling penting sebagai tanda setia hamba yang kerdil kepada Sang Pencipta hamba yang Maha Pengasih. Di kala usia menjengah dewasa muda, kemanisan berpuasa kali ini benar-benar dapat dirasai. Alhamdullillah, hamba masih diberi kesempatan oleh Allah swt untuk mengecap keindahan beribadah kepadaNya di saat jiwa dan akal telah bersedia semantapnya untuk bersatu membentuk kefahaman tentang erti ketaatan, pengorbanan, kesabaran, dan kesanggupan menjalankan perintah Allah swt ini.

Masih terasa kesyahduan dalam jiwa hamba tatkala dapat melaungkan nada-nada pujian buat Yang Maha Esa dan Rasulnya di celah-celah solat tarawikh bersama-sama ahli keluarga dan jemaah lainnya. Tambah hebat lagi, apabila ayahanda hamba sendiri mengimamkan solat sunat yang hanya ada pada malam Ramadan. Oh, hampir terlupa hamba. Ayahanda hamba baharu sahaja dilantik sebagai Tok Sidang bagi mukim tempat keluarga hamba menetap sekarang. Moga-moga Allah turut merestui perlantikan ayahanda hamba dengan sentiasa menunjukkan jalan serta memimpinnya supaya bisa menjadi pemimpin yang baik, adil dan berupaya menjadi teladan buat seluruh masyarakat setempat khasnya. Amin.

Sebelum Ramadan menjengah, hamba dan adik-beradik lainnya akan berusaha untuk kembali ke desa bagi meraikan hari pertama Ramadan bersama ayahanda dan bonda. Seakan sudah menjadi tradisi, seisi keluarga akan berkumpul dan mempersiapkan diri dari segi rohani dan jasmani bagi menghadapai bulan penuh barakah ini. Alhamdulillah, amalan yang kami anggap sudah menjadi tradisi dan identiti kami sekeluarga ini masih mampu dikekalkan berkat izin Allah swt. Moga keluarga kami bisa menjadi keluarga sakinah dan mendapat rahmat serta kasih-sayang Allah. Amin.

Seperti biasanya, ayahanda sempat memberi tazkirah kepada anak-anak dan cucu-cucunya tentang keistimewaan Ramadan dan rahmat yang terkandung di dalamnya. Dengan penuh santai, ayahanda berkata, "Bulan Ramadan ini disediakan khas buat kita untuk beribadah sebanyak-banyaknya kepada Allah swt. Ketika inilah, kasih-sayang Allah melimpah-limpah buat umatnya yang tekun mentaatiNya. Rebutlah peluang dan jangan pernah sia-siakan kedatangan bulan mulia ini. Moga-moga, kita dapat sama-sama pengampunan dan reda Allah dengan meningkatkan kualiti ibadah kita, " kata ayahanda yang masih terngiang-ngiang di cuping telinga hamba.

Namun, seperkara yang benar-benar menyentuh hati hamba tatkala ibonda mendekati hamba dan memberikan nasihat tentang penampilan hamba yang mewarnakan rambut. Kata bonda, "Rambut itu memang cantik. Tapi mak rasa kurang sesuai. Rambut yang diwarnakan tidak mampu menyerap wudhuk. Bagaimana mungkin Enjah (nama timanganku di kampung) hendak menunaikan ibadah andai bersuci Enjah tergantung. Tidak sah hukumnya. Mak takut amalan Enjah menjadi sia-sia, malah beban menanggung dosa kerana sentiasa dalam keadaan tidak bersuci," lunak kata-kata ibonda yang penuh dengan hikmat.

Kita diberikan akal untuk berfikir dan meningkatkan ilmu pengetahuan supaya kita tidak tersalah perhitungan. Terdetik dalam hati hamba, apalah salahnya hamba menurut sahaja nasihat bonda kerana sudah pasti ada kebenarannya. Tanpa berlengah, dengan bertemankan ayahanda, hamba pergi ke kedai gunting rambut milik rakan ayahanda. Alhamdulillah, keluar sahaja hamba dari kedai tersebut membuatkan ayahanda hamba kagum dan mengukir senyum panjang. Mana tidaknya, kepala hamba sudah seperti bayi baharu dilahirkan. Licin berseri. Andai begitu mudah hamba mampu melegakan dan membahagiakan hati ayahanda, mengapa hamba harus teragak-agak melakukannya.

Tahniah buat diri hamba sendiri kerana berjaya melawan kehendak hati yang tidak membawa ke mana-mana. Cuma sekadar fesyen yang hamba sendiri rasa setakat mampu memikat pandangan manusia lain. Itupun kalau ada benarnya. Daripada hamba memikat makhluk ciptaanNya, lebih baik hamba memikat rahmat dan kasih Sang Pencipta seluruh isi alam. Hamba tidak ragu-ragu lagi dengan keputusan yang telah hamba lakukan. Hamba anggap ini satu jihad, dan semoga Allah swt menerima jihad hamba dan mencurahkan rahmatnya atas pengorbanan hamba yang mungkin dikira kecil ini. Alangkah baiknya andai dosa-dosa hamba juga gugur seperti helaian rambut hamba yang jatuh digunting!

Hamba memohon dan berharap agar hamba mampu mengisi hari-hari dalam bulan mulia ini dengan amal ibadah. Yang paling penting, biarlah ia secara istiqamah dan datang dari kehendak hati hamba sendiri, bukan dipaksa-paksa. Moga rahmat Ramadan tahun ini menjadi milik hamba. Harap-harap hamba dapat bertemu dengan Lailatulqadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Amin.

Dari Allah aku datang, kepada Allah jualah aku kembali...