Friday, August 8, 2008

08.08.08

Catatan ini dibuat menjelang petang kala jarum panjang di jam tangan hamba melewati angka 10 manakala yang satu lagi sudah dekat dengan angka enam. Tanda lagi beberapa minit waktu bertugas hamba tamat untuk hari ini! Pelbagai karenah yang dapat hamba lihat dalam kalangan rakan setugas hamba, terutama yang bertugas di bahagian akhbar. Hendak tergelak pun ada, kesian pun ada! Dek kerana keunikan tarikh pada hari ini, mereka dikerah untuk membuat pelbagai variasi cerita yang berpaksi kepada keunikan tarikh ini.

Pendek kata, keunikan yang terdapat pada tarikh hari ini benar-benar memberi signifikan kepada hasil kerja yang bakal mereka lakukan. Perkahwinan, bayi yang baharu lahir, kemalangan, kolej bertukar menjadi universiti, dan sebagainya menjadi antara topik yang diketengahkan seterusnya dipaut dengan tarikh.

Maka, tercungap-cungap dan gelabahlah rakan setugas hamba dan rakan-rakannya yang lain untuk mencari bahan tersebut supaya dapat disiarkan. Dan apa yang lebih penting, permintaan pembaca Malaysia dapat dipuaskan! Timbul persoalan dalam kotak fikiran hamba yang naif ini, benarkah itu yang diminta oleh pembaca? Benarkah pembaca kita begitu tertarik dengan tarikh sebegini? Tiba-tiba hamba teringatkan pensyarah hamba semasa di universiti dahulu yang mengajar hamba kelas psikologi dan sosiologi. Sambil membelek-belek buku 'keramat' beliau, sang guru yang sememangnya menjadi idola hamba berkata "Memang fitrah manusia yang suka kepada kelainan dan keunikan.Tidak kira bagaimana kelainan itu wujud dan dizahirkan. Lagi unik sesuatu perkara itu, lagi hebat kesannya kepada manusia. Namun, nilai penerimaan impak tersebut berbeza mengikut individu," Begitulah antara kalimat ilmu yang dititipkan kepada hamba dan rakan-rakan. Moga berkat ilmu ini dipulangkan kembali kepada pensyarah kesayangan hamba, Prof. Dr. Parween.

Secara tidak langsung, mungkin pernyataan tersebut sedikit-sebanyak menjawab persoalan yang timbul. Bagi hamba, tidak salah untuk 'rasa tertarik' dengan keunikan tarikh pada hari ini kerana hamba juga begitu, tapi cukuplah sekadar apa yang sepatutnya. Tidak perlulah sampai terlalu taksub pula! Bagi hamba, Alhamdulillah, hamba merasa bersyukur kepada Maha Pencipta kerana masih sudi meminjamkan AnugerahNya untuk hamba terus bernafas dan dapat menikmati keunikan pada hari ini, dan insya-Allah juga keunikan-keunikan lain pada waktu mendatang! Amin...