Friday, September 26, 2008

SYAWAL MAKIN HAMPIR...

Hari ini hari terakhir hamba bertugas sebelum pulang ke kampung halaman menyambut hari lebaran bersama keluarga tersayang. Aura syawal semakin terasa tatkala melihat kemeriahan tradisi maaf bermaafan antara rakan sekerja di kantor hamba. Perasaan benar-benar teruja dengan ketibaan syawal yang bakal diraikan tidak lama lagi. Perayaan menyambut kemenangan! Lapar menjalani ibadah puasa seakan tidak terasa dek kerana kegairahan menyambut hari raya.

Insya-Allah, hari sabtu ini hamba akan pulang ke kampung. Pasti banyak yang perlu dilakukan di rumah. Maklumlah, kediaman keluarga hamba sedang diubahsuai. Ibu pula lebih bergantung harap untuk hamba menghias dan mengemaskan rumah. Memang sudah menjadi tugas dan tanggungjawab hamba saban tahun sebelum menjelang hari raya, hamba akan ditugaskan mengepalai tugasan mengemas rumah...Heheheh...

Dari segi persiapan lain, segalanya telah hamba lakukan sedari awal. Pakaian untuk diri sendiri, pakaian ibu bapa, perhiasan rumah (lampu lip-lap) ,mercun (yahooo..) juadah hari raya, hinggalah kepada 'hadiah' yang bakal diberikan kepada adik-beradik, saudara-mara, dan tetamu yang akan berkunjung ke rumah.

Seketika terdetik di hati hamba...dan akal terus berbicara! Syawal makin hampir menandakan Ramadan sudah dipenghujung...

Terasa sedih juga di hati hamba justeru mengimbau kembali apakah amalan dan ibadah yang telah hamba lakukan bagi mengisi hari-hari Ramadan? Sudah cukup giatkah hamba memanfaat anugerah yang datang hanya sekali setahun? Lantas, di akhir-akhir waktu ini, hamba kekal mengutip keistimewaan dan barakah Ramadan yang berbaki cuma beberapa hari sahaja lagi.

Semoga ketibaan hari raya nanti akan semeriah tahun-tahun sebelumnya, hatta mungkin lebih hebat dan meriah lagi...Meriah dengan penuh makna dan hikmah. Meriah dengan kasih-sayang dan jalinan erat tali persaudaraan. Meriah dengan kemenangan. Meriah segalanya...

**Insya-Allah, petang ini hamba akan menemani Aieman membeli-belah di Klang. Lama juga hamba tidak berjumpa dengannya. Di akhir Ramadan ini, dapat juga hamba berbuka dengannya sebelum dia kembali ke kampung dengan bas.**

Thursday, September 4, 2008

KASEH RAMADAN

Syukur, hari ini genap sudah lima hari hamba menjalankan ibadah rukun Islam ketiga. Menunaikan tanggungjawab sebagai muslim dan paling penting sebagai tanda setia hamba yang kerdil kepada Sang Pencipta hamba yang Maha Pengasih. Di kala usia menjengah dewasa muda, kemanisan berpuasa kali ini benar-benar dapat dirasai. Alhamdullillah, hamba masih diberi kesempatan oleh Allah swt untuk mengecap keindahan beribadah kepadaNya di saat jiwa dan akal telah bersedia semantapnya untuk bersatu membentuk kefahaman tentang erti ketaatan, pengorbanan, kesabaran, dan kesanggupan menjalankan perintah Allah swt ini.

Masih terasa kesyahduan dalam jiwa hamba tatkala dapat melaungkan nada-nada pujian buat Yang Maha Esa dan Rasulnya di celah-celah solat tarawikh bersama-sama ahli keluarga dan jemaah lainnya. Tambah hebat lagi, apabila ayahanda hamba sendiri mengimamkan solat sunat yang hanya ada pada malam Ramadan. Oh, hampir terlupa hamba. Ayahanda hamba baharu sahaja dilantik sebagai Tok Sidang bagi mukim tempat keluarga hamba menetap sekarang. Moga-moga Allah turut merestui perlantikan ayahanda hamba dengan sentiasa menunjukkan jalan serta memimpinnya supaya bisa menjadi pemimpin yang baik, adil dan berupaya menjadi teladan buat seluruh masyarakat setempat khasnya. Amin.

Sebelum Ramadan menjengah, hamba dan adik-beradik lainnya akan berusaha untuk kembali ke desa bagi meraikan hari pertama Ramadan bersama ayahanda dan bonda. Seakan sudah menjadi tradisi, seisi keluarga akan berkumpul dan mempersiapkan diri dari segi rohani dan jasmani bagi menghadapai bulan penuh barakah ini. Alhamdulillah, amalan yang kami anggap sudah menjadi tradisi dan identiti kami sekeluarga ini masih mampu dikekalkan berkat izin Allah swt. Moga keluarga kami bisa menjadi keluarga sakinah dan mendapat rahmat serta kasih-sayang Allah. Amin.

Seperti biasanya, ayahanda sempat memberi tazkirah kepada anak-anak dan cucu-cucunya tentang keistimewaan Ramadan dan rahmat yang terkandung di dalamnya. Dengan penuh santai, ayahanda berkata, "Bulan Ramadan ini disediakan khas buat kita untuk beribadah sebanyak-banyaknya kepada Allah swt. Ketika inilah, kasih-sayang Allah melimpah-limpah buat umatnya yang tekun mentaatiNya. Rebutlah peluang dan jangan pernah sia-siakan kedatangan bulan mulia ini. Moga-moga, kita dapat sama-sama pengampunan dan reda Allah dengan meningkatkan kualiti ibadah kita, " kata ayahanda yang masih terngiang-ngiang di cuping telinga hamba.

Namun, seperkara yang benar-benar menyentuh hati hamba tatkala ibonda mendekati hamba dan memberikan nasihat tentang penampilan hamba yang mewarnakan rambut. Kata bonda, "Rambut itu memang cantik. Tapi mak rasa kurang sesuai. Rambut yang diwarnakan tidak mampu menyerap wudhuk. Bagaimana mungkin Enjah (nama timanganku di kampung) hendak menunaikan ibadah andai bersuci Enjah tergantung. Tidak sah hukumnya. Mak takut amalan Enjah menjadi sia-sia, malah beban menanggung dosa kerana sentiasa dalam keadaan tidak bersuci," lunak kata-kata ibonda yang penuh dengan hikmat.

Kita diberikan akal untuk berfikir dan meningkatkan ilmu pengetahuan supaya kita tidak tersalah perhitungan. Terdetik dalam hati hamba, apalah salahnya hamba menurut sahaja nasihat bonda kerana sudah pasti ada kebenarannya. Tanpa berlengah, dengan bertemankan ayahanda, hamba pergi ke kedai gunting rambut milik rakan ayahanda. Alhamdulillah, keluar sahaja hamba dari kedai tersebut membuatkan ayahanda hamba kagum dan mengukir senyum panjang. Mana tidaknya, kepala hamba sudah seperti bayi baharu dilahirkan. Licin berseri. Andai begitu mudah hamba mampu melegakan dan membahagiakan hati ayahanda, mengapa hamba harus teragak-agak melakukannya.

Tahniah buat diri hamba sendiri kerana berjaya melawan kehendak hati yang tidak membawa ke mana-mana. Cuma sekadar fesyen yang hamba sendiri rasa setakat mampu memikat pandangan manusia lain. Itupun kalau ada benarnya. Daripada hamba memikat makhluk ciptaanNya, lebih baik hamba memikat rahmat dan kasih Sang Pencipta seluruh isi alam. Hamba tidak ragu-ragu lagi dengan keputusan yang telah hamba lakukan. Hamba anggap ini satu jihad, dan semoga Allah swt menerima jihad hamba dan mencurahkan rahmatnya atas pengorbanan hamba yang mungkin dikira kecil ini. Alangkah baiknya andai dosa-dosa hamba juga gugur seperti helaian rambut hamba yang jatuh digunting!

Hamba memohon dan berharap agar hamba mampu mengisi hari-hari dalam bulan mulia ini dengan amal ibadah. Yang paling penting, biarlah ia secara istiqamah dan datang dari kehendak hati hamba sendiri, bukan dipaksa-paksa. Moga rahmat Ramadan tahun ini menjadi milik hamba. Harap-harap hamba dapat bertemu dengan Lailatulqadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Amin.

Dari Allah aku datang, kepada Allah jualah aku kembali...

Friday, August 8, 2008

08.08.08

Catatan ini dibuat menjelang petang kala jarum panjang di jam tangan hamba melewati angka 10 manakala yang satu lagi sudah dekat dengan angka enam. Tanda lagi beberapa minit waktu bertugas hamba tamat untuk hari ini! Pelbagai karenah yang dapat hamba lihat dalam kalangan rakan setugas hamba, terutama yang bertugas di bahagian akhbar. Hendak tergelak pun ada, kesian pun ada! Dek kerana keunikan tarikh pada hari ini, mereka dikerah untuk membuat pelbagai variasi cerita yang berpaksi kepada keunikan tarikh ini.

Pendek kata, keunikan yang terdapat pada tarikh hari ini benar-benar memberi signifikan kepada hasil kerja yang bakal mereka lakukan. Perkahwinan, bayi yang baharu lahir, kemalangan, kolej bertukar menjadi universiti, dan sebagainya menjadi antara topik yang diketengahkan seterusnya dipaut dengan tarikh.

Maka, tercungap-cungap dan gelabahlah rakan setugas hamba dan rakan-rakannya yang lain untuk mencari bahan tersebut supaya dapat disiarkan. Dan apa yang lebih penting, permintaan pembaca Malaysia dapat dipuaskan! Timbul persoalan dalam kotak fikiran hamba yang naif ini, benarkah itu yang diminta oleh pembaca? Benarkah pembaca kita begitu tertarik dengan tarikh sebegini? Tiba-tiba hamba teringatkan pensyarah hamba semasa di universiti dahulu yang mengajar hamba kelas psikologi dan sosiologi. Sambil membelek-belek buku 'keramat' beliau, sang guru yang sememangnya menjadi idola hamba berkata "Memang fitrah manusia yang suka kepada kelainan dan keunikan.Tidak kira bagaimana kelainan itu wujud dan dizahirkan. Lagi unik sesuatu perkara itu, lagi hebat kesannya kepada manusia. Namun, nilai penerimaan impak tersebut berbeza mengikut individu," Begitulah antara kalimat ilmu yang dititipkan kepada hamba dan rakan-rakan. Moga berkat ilmu ini dipulangkan kembali kepada pensyarah kesayangan hamba, Prof. Dr. Parween.

Secara tidak langsung, mungkin pernyataan tersebut sedikit-sebanyak menjawab persoalan yang timbul. Bagi hamba, tidak salah untuk 'rasa tertarik' dengan keunikan tarikh pada hari ini kerana hamba juga begitu, tapi cukuplah sekadar apa yang sepatutnya. Tidak perlulah sampai terlalu taksub pula! Bagi hamba, Alhamdulillah, hamba merasa bersyukur kepada Maha Pencipta kerana masih sudi meminjamkan AnugerahNya untuk hamba terus bernafas dan dapat menikmati keunikan pada hari ini, dan insya-Allah juga keunikan-keunikan lain pada waktu mendatang! Amin...

Thursday, July 31, 2008

GEDIK SI EMEL

Seperti biasa kotak emel hamba penuh dengan kiriman. Tidak kira kiriman daripada tetamu yang ingin datang berkunjung, kiriman bos yang mahukan itu dan ini, bahan yang perlu dihantar ke grafik, paparan motivasi hari ini, ayat-ayat dan gambar-gambar lucu (bukan lucah yer!), macam-macam! Segalanya bercampur-baur. Namun ada beberapa emel yang begitu menarik perhatian hamba.

Satu, emel yang mengisahkan pasangan transeksual yang akhirnya, watak ilusi pasangan yang berperanan sebagai sang suami kini berubah menjadi isteri cuma kerana perut yang memboyot. Pelik, namun bila lumrah dunia 'sedang berkata-kata', hakikat akan zahir. Si suami, yang luarannya menampakkan struktur fizikal seorang lelaki namun punya rahim mengandungkan anak si isteri yang masih punya 'senjata' kebanyakkan yang dimiliki makhluk bernama lelaki. Hamba bertanya sendiri, adakah ini murni kerana menurut kata cinta yagn tulus dan ikhlas atau semata-mata kesilapan kerana menurut hawa nafsu. Ironinya, biarpun pasangan ini songsang, mereka tetap berupaya memiliki zuriat. Cuma yang berbeda hanyalah ayah dan ibu anak yang bakal dilahirkan tidak punya istilah khusus!

Kedua, kisah peperangan politik & seks yang dimainkan oleh dua politikus negaraku yang tercinta ini. Kisah 'serang-menyerang' dengan menggunakan senjata stereotaip 'orang-orang politik', apa lagi kalau bukan skandal seks (tidak kiralah, bagaimana skandal itu disifatkan, janji ada bunyi-bunyi seks) terus-terusan menerejah masuk ke dalam emel hamba. Tambah hebat, apabila masing-masing memberi komen masing-masing. Memang setiap individu berhak membuat persepsi dan intepretasi, namun hamba perlu bersikap bijak. Hamba perlu tahu bagaimana persepsi itu 'diletakkan pada tempat yang betul' dan kesahihannya. Emel yang memaparkan dokumen perubatan dari doktor yang memeriksa si mangsa benar-benar menghangatkan lagi fenomena ini!

Namun, hamba agak terkilan dengan satu bingkisan emel yang memaparkan laporan berita dari tanah seberang berkenaan krisis politik di negara hamba ini. Laporan memang laporan, kerana manusia yang menyediakannya untuk manusia yang lain. Namun caranya cukup sinis. Skrip yang dibaca komentar/penyampai memang pedas. Olahan bingkisan juga agak memedihkan hati. Terdetik juga jiwa hamba, negara jiran kita yang masih berhutang dengan Bank Dunia (kalau tak silap hamba) sedang menginjak-injak politik kita...Malu ada, kesal pun ada. Kita sedang diperkotak-katikkan dek kerana dua teraju yang saling bertelagah ini. Ayat paling sakastik, "kita tunggu apa lagi sandiwara politik dari negara jiran!". Namun, hamba percaya ini semua membawa pengajaran dan hikmat tersendiri. Cuma hamba perlu kaji, bongkar, dan berfikir lebih telus dan rasional.



UNTUNGNYA!

Khas 50 Tahun Merdeka, satu ruangan yang terdapat di dalam majalah hasil karya hamba. Ruangan yang memaparkan sekolah-sekolah Premier di negara Malaysia. Julai 29, hamba berkesempatan ke Sekolah Sultan Alam Shah di Putrajaya untuk membuat liputan bagi mengisi ruangan tersebut dalam isu akan datang. Sekolah yang pada asalnya di Cheras telah dipindahkan ke pusat pentadbiran hasil sentuhan Dr. M, Putrajaya. Bertuahnya! Sekolah ini juga mendapat nama sempena nama Sultan Selangor yang terdahulu. Bertuahnya!

Sekolah ini adalah salah sebuah sekolah SBP. Sekolah ini sekolah premier, sekolah 'showcase', sekolah bestari, dan sekolah kluster. Sekolah ini pelajarnya terdiri daripada kaum adam sahaja. Sekolah ini betul-betul hampir dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekolah ini sangat luas. Sekolah ini sangat cantik struktur binaannya. Sekolah ini serba lengkap. Sekolah ini punya pengetua yang 'comel' (dimata hamba) dan sangat baik hati serta menghormati tetamu. Sekolah ini memiliki guru-guru bertauliah dan cerdik-pandai.
Apa lagi yang istimewa tentang sekolah ini? Bertuahnya!

Sememangnya pelajar sekarang cukup bertuah! Serba-serbi sudah tersedia dengan baiknya untuk mereka. Apa lagi alasan yang harus diberikan untuk tidak mencapai kejayaan. Baik dari segi akademik mahupun kokurikulum. Segala yang disediakan adalah 'tip top'. Masa hamba dahulu (hamba pun budak SBP jugak!), perkara-perkara ini memang ada, tapi tidaklah sehebat waktu kini. Maka, konklusinya ialah: UNTUNGNYA mereka!!!!

Wednesday, July 30, 2008

ANTARA GENDANG, SEKOLAH, & PILOT


Hebat! Menarik! Sungguh berbakat!, itulah ungkapan yang paling sesuai hamba rasakan untuk kesemua peserta Festival Gendang Dunia 2008 yang telah mampir ke kantor hamba baru-baru ini. Selain berpakaian tradisional masing-masing, muzik yang dibawakan cukup asli menggambarkan identiti mereka. Bagi hamba, 'seniman gendang' dari tanah Arab punya muzik yang begitu unik dan menarik untuk dihayati. Tambah pula dengan gimik penari berkain kembang yang bisa memutarkan kainnya bak bilah helikopter, cukup mempersonakan! Terlupa hamba seketika tentang harga 'air minuman' Viva hamba yang telah meningkat naik.

Kunjungan pelajar dari KISAS & SERATA, dua sekolah agama yang tersohor di tanah air hamba pada hari yang sama di sebelah petang membuka peluang hamba selaku karyawan e@siswa untuk lebih rapat dengan pembaca. Biarpun badan agak letih, hamba paksakan juga bibir melakar senyum dan memberi komitmen sewajarnya seperti yang kerap hamba lakukan. Tambahan pula, pada masa yang sama hamba sedang sibuk merakamkan gambar juruterbang yang bakal hamba coretkan kisahnya dalam ruangan Personaliti e@siswa.

Juruterbang yang hamba maksudkan ini bakal membuat penerbangan solo mengelilingi dunia pada tahun ini. Satu lagi pencapaian anak bangsa yang perlu dibanggakan dan diwar-warkan! Berpaksi kepada tema "sayap keamanan", kapten ini yang secara langsung merupakan salah seorang duta keamanan membawa misi murni bagi membuka mata seluruh masyarakat dunia tentang erti hidup bertoleransi dan damai. Harap beliau selamat pergi dan pulang.

Thursday, July 24, 2008

MASIH BAHARU

Punat "Customize" kerapkali diklik. Ada sahaja pembetulan dan perubahan yang dibuat. Almaklumlah, hamba masih baharu dalam arena ini. Semangat turut berkobar-kobar untuk meneroka satu lagi kecanggihan dunia yang awalnya 'dipandang sepi' oleh hamba. Hakikatnya, hobi baharu ini sungguh mengujakan. Syabas sang arjuna! Paling tidak, kamu punya semangat untuk mempelajari, meneliti, memahami, dan mencuba sendiri atas daya usaha dan tunjuk ajar sahabat yang arif.